Thursday 8 June 2017

23 Jun 2017, Hari Cuti Sekolah Berganti

Aidilfitri: 23 Jun hari cuti sekolah berganti kecuali di K'tan, T'ganu, Kedah, Johor

Gambar: Ihsan Astro Awani

Kementerian Pendidikan menetapkan 23 Jun iaitu hari jumaat sebagai hari cuti berganti untuk negeri-negeri selain Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu sempena sambutan Aidilfitri ini.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesemua sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sabah dan Sarawak perlu mengganti hari persekolahan itu pada 17 Jun ini.
"Kementerian Pendidikan telah bersetuju memberikan cuti berganti pada negeri-negeri kategori B pada 23 Jun dan diganti pada 17 Jun Ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama 1,000 warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya malam tadi.
Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi mengelak kesesakan jalan raya dan menjamin keselamatan warga guru dan pelajar.
Mengikut jadual asal yang dikeluarkan pihak kementerian, sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan mula bercuti pada 23 Jun ini (Jumaat) manakala negeri lain bermula pada 24 Jun.
Media melaporkan Presiden KGMMB, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata kesesakan jalan raya dijangka berlaku teruk pada Sabtu kerana orang ramai mula cuti dan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri yang dijangka disambut pada 25 Jun (Ahad).
- Bernama