Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
|
PROJEK baja kompos yang diusahakan oleh pasukan Eco-Greenator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma di Beranang, Selangor dinobatkan sebagai juara pertandingan Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan.
Ternyata usaha gigih pasukan tersebut selama beberapa bulan sejak bulan Mac 2013 tidak sia-sia.
Ketua projek, Muhammad Afiq Omaruddin, 16, mengakui kejayaan tersebut begitu bermakna buat mereka yang menyertai pertandingan tersebut buat kali pertama tahun ini.
“Alhamdulillah, rasa amat teruja apabila kami diumumkan sebagai juara pada pertandingan akhir ini. Meskipun pasukan lain juga hebat dengan pelbagai projek pemuliharaan, tetapi tuah memihak pada kami,” tutur Muhammad Afiq.
Program yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) sebagai satu inisiatif menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar. Ia telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran dan disokong oleh Affin Bank Berhad (Affinbank).
Enam terpilih
Pada peringkat awal, sebanyak 39 pasukan dari sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersaing untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Namun, hanya enam sekolah terpilih ke peringkat akhir berdasarkan projek yang diusahakan bagi memelihara alam sekitar yang berlangsung pada 12 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar.
Pasukan tersebut terdiri daripada SMK Cheras Jaya, SMK Taman Sea, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Serendah, SMK Wangsa Melawati dan SMK King George V.
Menurut Muhammad Afiq, pasukannya berjaya menghasilkan 150 kilogram baja kompos organik daripada bahan buangan taman dan sisa makanan yang diambil dari kantin sekolah.
“Kemudian, baja itu kami gunakan untuk menyuburkan taman-taman di kawasan sekitar sekolah. Malah, sebahagian daripada baja tersebut telah dijual bagi membiayai kos untuk meneruskan pelaksanaan projek ini,” jelasnya ketika ditemui.
Sepanjang program ini berlangsung, setiap pasukan tampil dengan penyelesaian sendiri untuk menghijaukan sekolah dan menggembleng tenaga warga sekolah masing-masing bagi menjayakannya.
|
Gubah taman
Selain itu, para peserta turut dibantu merancang dan melaksanakan projek melalui bengkel latihan yang diadakan oleh pihak penganjur.
Pengarah TrEES, Christa Hashim memberitahu, secara keseluruhan, lebih 65 tan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan oleh sekolah-sekolah tersebut.
“Setiap pasukan juga kreatif menggubah taman yang ditanam dengan pelbagai pokok untuk mempelbagaikan tumbuhan semula jadi di sekolah masing-masing.
“Hakikatnya, melalui pertandingan ini, para peserta dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri, meluaskan pengetahuan, menajamkan kemahiran dan mengenali erti semangat berpasukan untuk meraih kejayaan,” ungkap Christa.
Antara projek unik yang menarik perhatian ialah pemindahan kelawar yang tinggal di loteng SMK King George V di Seremban, Negeri Sembilan melalui penyediaan sarang kelawar di tempat lain.
Meskipun kelawar berguna bagi alam sekitar, tetapi guano atau najis kawanan haiwan itu mampu membahayakan kesihatan warga sekolah tersebut.
Projek mengusahakan sebuah taman di lereng bukit di SMK Serendah bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah juga harus diberi pujian.
“Kami bimbang keselamatan penghuni sekolah jika berlaku hakisan tanah pada cerun-cerun yang curam bersebelahan kantin sekolah ini. Sebab itulah kami sepakat untuk menanam pokok dalam mengekalkan keutuhan tanah di situ,” kata wakil pasukan, Teh Ai Yee, 16.
Bagi pasukan dari SMK Cheras Jaya pula, kertas sisa dan bungkusan plastik dari kantin sekolah yang dahulunya dibuang kini dianggap sebagai sumber yang berharga.
Justeru, mereka bertindak mengitar semula dan menggunakan untuk mengindahkan kawasan taman. Malah, sisa kertas digunakan semula sebagai kantung pelindung sayur-sayuran dan membuat kertas lukisan serta kolaj.
Sementara itu, menggunakan sistem membuat kompos yang digelar bokashi, pasukan dari SMK Taman Sea berjaya mengurangkan sisa makanan mentah dari dapur kantin dan sisa makanan yang sudah dimasak tetapi tidak habis dimakan oleh pelajar.
Kompos bokashi ini digunakan untuk menyuburkan sepetak tanah kosong yang dijadikan kebun sayur-sayuran organik di sekolah mereka.
Usaha ini juga secara tidak langsung mendidik warga sekolah tentang cara menggunakan baja organik untuk menanam buah-buahan dan sayur.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini layari laman www.facebook.com/YV4C.TrEES.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz2pxvsUzw0
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment