Saturday, 18 March 2017

Soalan Lazim Lepasan SPM 2016

SOALAN LAZIM (FAQ) 

KEMASUKAN PELAJAR KE UNIVERSITI AWAM (UA), POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI DAN INSTITUSI LATIHAN KEMAHIRAN AWAM (ILKA)



A. UMUM

SOALAN 1: Apa itu BPKP JPT? 

JAWAPAN 1: BPKP JPT adalah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) atau lebih dikenali dengan UPU. BPKP JPT adalah bahagian yang bertanggungjawab menyelaras kemasukan ke
a) 20 buah UA & 3 Politeknik Premier - Program Pengajian Lepasan STPM/ Setaraf - Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf
b) Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan ILKA - Program Pengajian Lepasan SPM/ Setaraf - Program Pengajian Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Suruhanjaya Tenaga dan Kemasukan ke Program Sijil Pengajar Vokasional (VTO)

SOALAN 2: Apa itu meritokrasi dalam kemasukan pelajar?

JAWAPAN 2: Meritokrasi adalah penentuan nilai merit yang dilaksanakan tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri, tempat tinggal dan sebagainya. Prinsip meritokrasi mengguna pakai

a) 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum bagi kemasukan ke 20 UA dan 3 Politeknik Premier
b) 75% markah akademik, 15% sosioekonomi dan 10% markah kokurikulum bagi kemasukan ke Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti dan ILKA

SOALAN 3: Apa beza Politeknik Premier dengan Politeknik Konvensional/ METrO? 

JAWAPAN 3: Politeknik Premier adalah politeknik yang setanding dengan Universiti Awam. Pelajar perlu bersaing untuk kemasukan ke UA dan Politeknik Premier. Tiga (3) Politeknik Premier adalah

a) Politeknik Ungku Omar, Perak (PUO)
b) Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Selangor (PSA)
c) Politeknik Ibrahim Sultan, Johor (PIS)

Manakala Politeknik Konvensional pula adalah 25 buah politeknik selain Politeknik Premier seperti berikut:
1) Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang
2) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah
3) Politeknik Kota Bharu, Kelantan
4) Politeknik Kuching, Sarawak
5) Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan
6) Politeknik Kota Kinabalu, Sabah
7) Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang
8) Politeknik Melaka, Melaka
9) Politeknik Kuala Terengganu, Terengganu
10)Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu
11)Politeknik Merlimau, Melaka 12)Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kedah
13)Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak
14)Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor
15)Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis
16)Politeknik Muadzam Shah, Pahang
17)Politeknik Mukah, Sarawak
18)Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang
19)Politeknik Jeli, Kelantan
20)Politeknik Nilai, Negeri Sembilan
21)Politeknik Banting, Selangor
22)Politeknik Mersing, Johor
23)Politeknik Hulu Terengganu, Terengganu
24)Politeknik Sandakan, Sabah
25)Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Johor Politeknik

METrO adalah adalah politeknik yang ditubuhkan bagi memenuhi keperluan sosio ekonomi tempatan dan wilayah dalam bidang tertentu. Lima (5) buah Politeknik METrO adalah
a) Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL)
b) Politeknik METrO Kuantan, Pahang (PMKU)
c) Politeknik METrO Johor Bahru, Johor (PMJB)
d) Politeknik METrO Betong, Sarawak (PMB)
e) Politeknik METrO Tasek Gelugor, Pulau Pinang (PMTG)

SOALAN 4: Ada Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf, ada Lepasan SPM/Setaraf dan Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Suruhanjaya Tenaga dan Kemasukan ke Program Sijil Pengajar Vokasional (VTO). Banyak sangat yang saya tidak faham dan keliru. Cuba terangkan maksud bagi setiap perkara? 

JAWAPAN 4: Program pengajian Lepasan STPM/Setaraf adalah calon yang mempunyai kelayakan seperti STPM, STAM, Matrikulasi/ Asasi, Diploma, A-Level dan lain-lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Manakala program pengajian Lepasan SPM/Setaraf pula adalah calon yang mempunyai kelayakan SPM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Asasi, Sijil dan Diploma.

Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia/ Sijil Suruhanjaya Tenaga adalah calon yang mempunyai SKM dan Sijil Pendawaiaan/ Sijil Jentera untuk naik tahap seperti dari SKM Tahap 3 ke SKM tahap 4 dan Sijil Pengajar Vokasional (VTO) pula adalah terbuka kepada semua calon yang mempunyai Sijil/ Diploma untuk mengikuti program menjadi tenaga pengajar Vokasional.

SOALAN 5 Selain daripada Portal Rasmi Kemasukan Pelajar iaitu http://upu.mohe.gov.my, saluran mana yang boleh saya dapatkan informasi terkini dan adakah terdapat apa aktiviti anjuran BPKP JPT untuk menyebar luas maklumat kemasukan bagi membantu saya dalam mencapai cita-cita yang akhirnya mencorakkan negara dengan pembangunan modal insan yang seimbang?

JAWAPAN 5: Setiap tahun KPT akan menganjurkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) adalah sebagai platform untuk persiapan kemasukan pelajar. 20 kiosk UPUOnline disediakan kepada anda di tapak karnival, khidmat runding cara bersama pegawai daripada Kementerian, UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA serta edaran bahan bercetak mengenai institusi, program pengajian, sistem dan prosedur permohonan.

Selain daripada itu, BPKP JPT juga telah mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan akses komunikasi secara maya bersama masyarakat di
Facebook : KEMASUKAN BPKP JPT
Twitter : @TWT_UPU
Instagram : @KEMASUKANBPKP

Anda digalakkan untuk 'Like' Facebook Kemasukan BPKP JPT bagi memastikan maklumat terkini sentiasa diperoleh.

SOALAN 6: Bagaimana permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA boleh dikemukakan? 

JAWAPAN 6: Permohonan kemasukan hanya melalui UPUOnline sahaja di Portal Rasmi Kemasukan iaitu http://upu.mohe.gov.my

SOALAN 7: Bila permohonan kemasukan dibuka dan adakah bayaran dikenakan untuk mengemukakan permohonan? JAWAPAN 7: Permohonan kemasukan akan dibuka pada bulan Januari/ Februari setiap tahun. Pemohon perlu membeli No. Unik ID untuk mengemukakan permohonan

SOALAN 8: Bagaimanakah cara untuk membeli No. Unik ID tersebut dan berapa harga No. Unik ID? 

JAWAPAN 8: No. Unik ID boleh dibeli di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN), di mesin ATM BSN sehari selepas iklan disiarkan. Pemohon perlu membawa MyKad/ Salinan MyKad untuk membeli No. Unik ID. Harga No. Unik ID adalah RM15.65 (termasuk GST). Kos GST dikenakan oleh BSN.

SOALAN 9: Bagaimana untuk memastikan No. Unik ID yang dibeli adalah betul? 

JAWAPAN 9: Pastikan No. Kad Pengenalan yang tertera dalam Slip No. Unik ID BSN adalah betul. Jika pemohon adalah Lepasan STPM/Setaraf, No. Unik ID bermula dengan angka 13XXX dan jika pemohon adalah Lepasan SPM/Setaraf , No. Unik ID bermula dengan angka 16XXX.

SOALAN 10: Bolehkah saya akses UPUOnline tanpa membeli No. Unik ID? 

JAWAPAN 10: Boleh. Anda hanya perlu Daftar Kali Pertama terlebih dahulu dengan masukkan item yang yang diperlukan. Semasa Daftar Kali Pertama ini anda tidak perlu masukkan No. Unik ID.

Selepas daftar, anda boleh akses UPUOnline untuk dapatkan maklumat seperti berikut sebelum mengemukakan permohonan
a) Manual Pengguna UPUOnline
b) e-Panduan : Syarat Am dan Khas Kemasukan Selepas itu, anda boleh membeli No. Unik ID dan mengemukakan permohonan

SOALAN 11: Bolehkah saya mohon UPUOnline sedangkan saya belum mendapat keputusan SPM lagi? 

JAWAPAN 11: Boleh. Anda sememangnya digalakkan untuk memohon UPUOnline lebih awal bagi memastikan anda faham bagaimana untuk menggunakan UPUOnline.

Anda boleh memilih program pengajian berdasarkan keputusan percubaan dan bidang yang diminati. Setelah memperoleh keputusan SPM, anda hanya perlu mengemaskini maklumat pilihan program pengajian supaya program yang dipilih memenuhi syarat am dan khas yang ditetapkan.

Anda boleh mengelakkan sebarang masalah teknikal/ kesesakan jika mohon UPUOnline lebih awal.

SOALAN 12: Bagaimana saya tahu yang saya layak memohon atau tidak? 

JAWAPAN 12: Dalam e-Panduan, anda boleh menyemak sama ada ada layak memohon atau tidak. Selain itu, anda juga boleh membuat semakan syarat am dan syarat khas program pengajian melalui Sistem Semak Syarat di URL http://www.semaksyarat.info 

SOALAN 13: Semasa mengisi borang permohonan dalam talian, saya telah membuat kesilapan dalam mengisi jenis kategori. Adakah permohonan tersebut masih diproses oleh pihak BPKP? 

JAWAPAN 13: Ya, masih diproses. Walau bagaimana pun pemohon perlu memaklumkan kepada pihak BPKP, JPT terlebih dahulu di talian Hotline 03-8870 8200 kerana kesilapan dalam mengisi kategori akan menyukarkan proses permohonan.

SOALAN 14: Adakah saya perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil sebagai bukti bagi proses permohonan kemasukan? 

JAWAPAN 14: Pemohon tidak perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil kerana BPKP JPT melaksanakan proses padanan dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bahagian Seni & Kokurikulum KPM dan sebagainya bagi memastikan data peribadi, keputusan peperiksaan, MUET dan markah kokurikulum adalah tepat.

Walau bagaimanapon, jika anda merupakan pelajar Lepasan STPM/Setaraf dalam Kategori Diploma/Setaraf, anda perlu upload beberapa dokumen penting dalam Sistem UPUOnline

SOALAN 15: Saya merupakan calon STPM dan berminat memohon ke USM dan UM. Adakah saya mohon terus kepada USM dan UM atau memohon melalui UPUOnline? 

JAWAPAN 15: Mulai Sesi Akademik 2017/2018, anda perlu memohon melalui UPUOnline jika berminat untuk mengikuti program pengajian di USM dan UM. Baharu C. UPUONLINE

SOALAN 16: Saya telah tersilap daftar No. Kad Pengenalan (NO. KP) semasa pendaftaran peperiksaan SPM, adakah saya boleh memohon UPUOnline? 

JAWAPAN 16: Boleh. Anda cuma perlu masukkan No. KP yang silap semasa pendaftaran peperiksaan SPM pada ruangan No. Kad Pengenalan Semasa Pendaftaran Peperiksaan dalam UPUOnline.

SOALAN 17: Adakah saya diberi peluang untuk membuat kemas kini permohonan disebabkan kesilapan dalam mengisi permohonan? 

JAWAPAN 17: Ya, anda masih boleh kemas kini permohonan tanpa sebarang had sepanjang tempoh permohonan. Namun demikian, anda perlu pastikan kemas kini maklumat hanya dilakukan oleh anda sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak ke-3. BPKP JPT tidak bertanggungjawab atas kesilapan maklumat yang dimasukkan.

SOALAN 18: Saya terlupa untuk mencetak/ simpan Slip Permohonan UPUOnline. Bagaimana cara untuk saya mencetak/ simpan Slip Permohonan UPUOnline dan adakah setiap kali saya kemaskini permohonan saya juga perlu mencetak Slip tersebut? 

JAWAPAN 18: Anda hanya perlu login UPUOnline seperti biasa dan klik pada pautan menu SLIP pada sebelah kanan laman.

Selepas itu, Slip Permohonan UPUOnline akan dipaparkan dalam format PDF. Anda boleh cetak terus atau menyimpan/save fail PDF tersebut dalam komputer anda.

SOALAN 19 : Saya cuba klik pautan SLIP dalam UPUOnline, tetapi tiada sebarang paparan Slip Permohonan UPUOnline dipaparkan. Mengapakah perkara ini berlaku? 

JAWAPAN 19: Perkara ini berlaku kerana anda tidak berjaya mengemukakan permohonan. Mungkin anda tidak klik ‘Sah & Hantar’ atau ada gangguan internet semasa mengemukakan permohonan.

Setiap permohonan, anda perlu pastikan anda klik ‘Sah & Hantar’ dan pastikan Slip Permohonan UPUOnline dipaparkan dan dicetak/ disimpan sebagai rujukan. Pastikan Slip Permohonan UPUOnline adalah lengkap dengan dengan maklumat permohonan.

SOALAN 20: Bagaimana saya perlu membuat pilihan program pengajian? Senarai program pengajian yang ada terlalu banyak. 

JAWAPAN 20: Anda boleh melayari e-Panduan Kemasukan Pelajar untuk mendapatkan senarai program pengajian yang anda minati di URL seperti berikut :-

a) 20 UA & Politeknik Premier
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/epanduan/ipta/
b) Politeknik Konvensional/ METrO, Kolej Komuniti dan ILKA https://online.mohe.gov.my/upu/vteilka/fepanduan/index.php

Dalam e-Panduan ini, anda boleh menyemak sama ada ada layak memohon atau tidak. Selain itu, anda juga boleh membuat semakan syarat am dan syarat khas program pengajian melalui Sistem Semak Syarat di URL http://www.semaksyarat.info. Sila pastikan anda memilih program pengajian yang layak sahaja.

Selain itu, sebelum anda memilih pilihan program pengajian, anda perlu memilih tiga (3) bidang yang diminati. Senarai program pengajian yang dipaparkan adalah berdasarkan tiga (3) pilihan bidang yang telah anda pilih.

SOALAN 21: Bagaimana saya boleh mengetahui bahawa saya dipanggil untuk temu duga atau ujian seperti Ujian MEdSI? 

JAWAPAN 21: Anda perlu menyemak di laman web UA/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan ILKA yang berkaitan. Pihak UA/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan ILKA yang berkaitan juga akan turut menghubungi anda untuk maklumkan mengenai panggilan Temu duga/ Ujian.

Selain itu, SMS Blast juga akan dihantar kepada anda untuk menyemak panggilan temu duga/ ujian. Pastikan No. Telefon Bimbit yang dimasukkan adalah betul.

SOALAN 22: Bagaimanakah saya boleh mendapatkan status keputusan permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA? 

JAWAPAN 22: Anda boleh menyemak status keputusan permohonan melalui 3 kaedah berikut:

a) Internet : http://upu.mohe.gov.my
https://jpt.utm.my
http://jpt.uum.edu.my
https://jpt.unimas.my
http://jpt.ums.edu.my

b) SMS Taip UPURESULTNO KP ; ATAU SMS Taip TVETRESULTNOKP dan hantar ke 15888
c) Talian Hotline UPU: 03-8870 8200

SOALAN 23: Adakah saya akan ditawarkan dengan program pengajian yang tidak dipilih dalam UPUOnline? 

JAWAPAN 23: Jika anda merupakan pemohon Lepasan SPM/Setaraf, anda boleh ditawarkan dengan program di luar pilihan jika telah bersetuju pada ruangan penyataan khas untuk menerima tawaran luar pilihan (program pengajian).

Manakala jika anda merupakan pemohon Lepasan STPM/Setaraf, anda hanya akan ditawarkan pilihan program yang ada dalam pilihan sahaja. Jika anda tidak Berjaya pada ambilan pertama, anda perlu memohon rayuan pilihan program pengajian yang anda layak dan ada kekosongan tempat sahaja. Anda akan ditawarkan dengan pilihan program rayuan fasa 1 dan akan mendaftar bersamasama calon ambilan pertama. Jika anda masih tidak berjaya, anda akan dipertimbangkan untuk rayuan fasa 2 jika ada kekosongan tempat. Baharu

SOALAN 24: Sekiranya saya membuat e-rayuan dan memilih program pengajian yang sama, adakah pemohon berpeluang untuk mendapat program pengajian tersebut? 

JAWAPAN 24: Kejayaan mendapat tawaran tertakluk memenuhi syarat dan kekosongan tempat. Pemohon dinasihatkan memohon program lain. Pemohon juga dinasihatkan agar tidak melepaskan peluang untuk belajar dalam program- program kemahiran kerana peluang untuk belajar bidang kemahiran adalah sangat besar dan peluang pekerjaan juga adalah luas seperti di Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang lain.

SOALAN 25: Saya mempunyai keputusan akademik yang cemerlang, tetapi masih gagal mendapat sebarang tawaran. 

JAWAPAN 25: Kejayaan pemohon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di UA/ IPTA yang dipohon. Jika merit pemohon tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar pemohon tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian dalam pilihan mereka. Begitu juga jika pemohon hanya memohon di Universiti Awam yang popular, pemohon akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada UA berkenaan. Antara beberapa sebab mengapa pemohon tidak ditawarkan ke mana-mana UA adalah kerana:

i. Tidak mengemukakan permohonan melalui BPKP, JPT
ii. Tidak memenuhi syarat am UA dan syarat khas program pengajian
iii. Permohonan tidak lengkap
iv. Pemalsuan maklumat atau dokumen semasa mengemukakan permohonan v. Memohon program luar bidang aliran
 vi. Tidak tekan butang Sah & Hantar semasa permohonan vii. Pemohon sedang belajar
viii. Dokumen tidak diupload atau dokumen yang diupload tidak jelas (bagi STPM/Setaraf Kategori Diploma/Setaraf)

SOALAN 26: Saya mendapat tawaran melalui BPKP, JPT tetapi tidak berminat dengan kursus yang ditawarkan. Bolehkah saya memohon untuk menukar kursus lain? 

JAWAPAN 26: Tawaran adalah muktamad. Pemohon yang telah berjaya mendapat tawaran ke UA melalui BPKP tidak dibenarkan untuk memohon sebarang penukaran kursus yang lain. Keputusan adalah muktamad.

No comments:

Post a Comment